Mata anda adalah tingkap kepada jiwa anda. Terdapat banyak peribahasa yang menyebut tentang mata kita. Mengapa? Kerana ia menyampaikan banyak perkara tentang perasaan kita. Malah, ia boleh menjadi salah satu ciri yang paling menarik bagi diri kita dan ianya penting untuk penglihatan kita. Walaupun terdapat Batasan bagi perkara yang boleh anda lakukan untuk memperbaiki penglihatan tanpa pembedahan, namun pengamalan beberapa tabiat gaya hidup sihat secara keseluruhannya boleh membantu. Beberapa perubahan gaya hidup boleh memberi manfaat terhadap kesihatan mata anda secara keseluruhannya, sekiranya anda mengelak daripada maklumat yang mengelirukan serta membuat keputusan berdasarkan bukti saintifik.
Tetapkan Jangkaan Yang Munasabah Untuk Penglihatan Anda
Jika anda ingin menambah baik penglihatan anda tanpa pembedahan, anda haruslah menetapkan jangkaan yang realistik. Walaupun tiada ubat ajaib untuk memperbaiki penglihatan anda secara semula jadi, tabiat tertentu boleh memperbaiki atau memburukkan kesihatan umum mata anda. Anda boleh membantu penglihatan dan kesihatan mata anda dengan membuat perubahan melalui gaya hidup yang sihat.
Makan untuk Meningkatkan Penglihatan Anda
Mata anda memerlukan pelbagai nutrien untuk berfungsi dengan betul. Mulakan dengan nutrien seperti berikut:
- Vitamin A, C, dan E, serta mineral seperti tembaga dan zink diperlukan untuk penglihatan yang baik.
- Beta-keroten, lutein, dan zeaxanthin adalah antara antioksidan yang boleh melindungi makula daripada kerosakan akibat sinaran matahari. Selain itu, sayur-sayuran juga boleh membantu untuk mencegah degenerasi makula yang berkait rapat dengan faktor usia, dimana ia merupakan penyebab utama kebutaan.
- Makanan yang kaya dengan sulfur, sisteina, dan lesitin membantu untuk melindungi kanta mata anda daripada pembentukan katarak. Selain itu, bawang putih, bawang besar, bawang merah, dan kaper juga merupakan pilihan yang sangat baik.
- Beri biru, anggur, dan buah goji memiliki antosianin yang tinggi; dimana ia mengandungi ciri-ciri antioksidan dan anti-radang yang boleh membantu untuk memperbaiki penglihatan anda.
- DHA ditemui dalam ikan yang hidup di kawasan air sejuk seperti salmon liar, sardin, tenggiri (mackerel), dan ikan kod. DHA mampu meningkatkan kesihatan mata dengan menyediakan sokongan struktur pada membran sel.
Benarkan Mata Anda Berehat
Tidur adalah amat penting untuk mengekalkan kesihatan mata. Ia membolehkan mata anda berehat, membaik pulih, dan pulih sepenuhnya. Sebaliknya, tidur yang tidak mencukupi akan menjejaskan penglihatan anda. Oleh yang sedemikian, dapatkanlah tidur malam sekurang-kurangnya 8 jam sehari tanpa sebarang gangguan. Benarkan mata anda berehat setiap jam semasa hari bekerja: Rehatkan mata anda selama 10 minit, selepas setiap 50 minit membaca atau menggunakan komputer. Sekiranya mata anda penat, baring dan letakkan hirisan timun di atas kelopak mata anda untuk menyejukkannya.
Cuba Lakukan Senaman Mata
Antara cara lain untuk memperbaiki penglihatan tanpa pembedahan ialah senaman ringkas yang boleh membantu anda untuk mengekalkan penglihatan yang jelas dan mungkin menghalang floaters mata. Senaman ini perlu dilakukan pada waktu pagi, sebelum tidur, atau apabila mata anda berasa penat. Langkah pertamanya, pastikan tangan anda bersih dan emosi anda tenang. Kemudian, komited dengan rutin senaman mata ini pada setiap hari. Anda akan melihat hasil yang lebih baik dalam masa sebulan.
Tuamkan mata anda dengan menggosok tapak tangan untuk memanaskannya. Kemudian, tekan mata anda selama lima saat. Ulangi perkara ini sebanyak tiga kali. Pusingkan anak mata anda. Mulakan dengan melihat ke atas, kemudian lakukan gerakan putaran secara beransur-ansur sebanyak sepuluh kali mengikut arah jam dan sepuluh kali mengikut arah lawan jam. Fokus. Pegang pen pada paras lengan, tumpukan pandangan anda terhadapnya, dan dekatkan pen itu kepada anda secara perlahan-lahan. Selepas itu, urut bahagian tepi kening anda dengan teknik bulatan kecil menggunakan buku jari ibu jari anda. Lakukannya sebanyak dua puluh kali mengikut arah jam dan lawan jam. Ulangi teknik ini di bahagian titik tengah kening di dahi anda, kemudiannya di bawah mata pada kedua-dua belahnya. Akhir sekali, tidur sebentar. Lakukannya selama 3 minit, dengan mencondongkan kepala anda ke belakang, tutup mata anda, dan berehat.
Penglihatan dan Penjagaan
Secara umumnya, tip yang dibincangkan di atas adalah untuk membantu anda mengekalkan penglihatan berbanding memperbaikinya. Terdapat banyak situasi dimana penglihatan sesorang menurun bawah daripada tahap 20/20; dimana mereka memerlukan cermin mata atau pembedahan untuk memperbaiki penglihatan mereka. Walau bagaimanapun, pembedahan atau penggunaan cermin mata tidak memberi jaminan bahawa ia akan mengembalikan penglihatan anda kepada 20/20. Dalam sesetengah kes seperti degenerasi makula yang berlaku disebabkan faktor umur, pesakit hanya mampu memperlahankan perkembangkan keadaan mereka dan mendapatkan nasihat doktor mengenai cara untuk menambah baik kehidupan mereka apabila penglihatan mereka semakin terjejas. Kami berharap agar cadangan kami mengenai cara memperbaiki penglihatan tanpa pembedahan ini membantu anda. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau memerlukan pemeriksaan rutin, sila kunjungi kami di klinik kami.